BANTERAS JUDI HABIS-HABISAN [ JUMAAT : 4 MEI 2010 ] MASJID HIDAYATUL MUSTAQIM/QUBA’

الحمد لله الذي أنعم علينا بما أعطانا من الأموال ،ووفق من شاء من خلقه لاكتسابها من طريق حلال، وصرفها فيما يوجب رضى الكبير المتعال، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، ذو العظمة والجلال، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، المبعوث بأكمل الشرائع وأفضل الخصال، صلى الله عليه وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم لا بيع فيه ولا خلال ،وسلم تسليما.
أما بعد، أيها الناس: اتقوا الله تعالى، واعلموا أنما أموالكم وأولادكم فتنة وأن الله عنده أجر عظيم
Wahai hamba-hamba Allah ! Dikesempatan yg berharga ini, Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah . Orang yang bertaqwa sentiasa memastikan setiap usaha dan hasil pencariannya bersumber daripada rezeki yang halal. Orang yang bertaqwa sentiasa memastikan pencariannya selamat daripada sumber yang haram seperti hasil yang diperolehi daripada penipuan dan perjudian.
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah, marilah kita merenung sejenak , peristiwa-peristiwa yang mencabar keimanan dan kasih sayang kita terhadap agama & maruah saudara seaqidah kita.
1) Ketika umat Islam di Pakistan, bangkit mengecam laman facebook yang menghina nabi Muhammad s.a.w dengan suatu kumpulan menganjur pertandingan melakar wajah nabi,
2) Ketika kekejaman Komando Israel yang menyerang konvoi bantuan kemanusiaan di perairan antarabangsa, yang membawa bantuan perubatan, pendidikan dan pembinaan bagi rakyat Gaza, yang disertai lebih dari 50 buah negara sehingga 9 sukarelawan Turki yang mati ditembak dan ramai lagi yang cedera. Insiden ini, membuka mata masyarakat dunia, betapa kejamnya Yahudi Laknatullah ini..
3) Tiba-tiba, Negara telah dihangatkan dengan kelulusan pihak kerajaan meluluskan lesen kepada Berjaya Corporation untuk menguruskan pertaruhan sempena Piala Dunia 2010 yang menjelang tiba. Tentangan bukan sahaja datang dari pihak parti pembangkang dan orang Islam, bahkan dari pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat bukan Islam.Saranan dari bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar keputusan kerajaan tersebut dikaji semula amatlah dialu-alukan dan harus diteliti oleh pihak kerajaan. Alasan daripada Timbalan Menteri Kewangan amat memualkan. Beliau berkata, jika lesen judi bola itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini. Ternyata tindakan ini tidak bersesuaian dengan identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh di kalangan Negara-negara Islam terutama dalam negara menonjolkan diri sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa dan juga Pusat Halal Dunia.معشر المسلمين رحمكم الله
Walaupun lesen judi, kononnya hanya dibenarkan untuk pelanggan di kalangan bukan Islam termasuk pekerja dan premis, namun judi bukan sahaja mendapat tentangan daripada masyarakat Islam tetapi bukan Islam sendiri. Jika ditelusuri judi di kalangan agama dunia, majoriti kesemuanya, merujuk tentang keburukan judi kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Islam sebagai agama rasmi negara, secara jelas menyatakan haramnya judi. Jika kita perhatikan kepada pegangan agama lain terhadap judi seperti Budha Hinayana menggariskan lima larangan kepada penganut Budha iaitu; ” membunuh, mencuri, menipu, berzina, meminum alkohol dan berjudi”.
Kristian pula memberi amaran bagi yang mencari kekayaan secara cepat dan cintakan wang termasuk judi yang menyaksikan majoriti gereja menolak penubuhan pusat judi secara besaran seperti kasino atas dasar ‘melampau’, .
Manakala Yahudi menetapkan aktiviti judi hanya, dibenarkan semasa perayaan Hannukah sahaja sebagai satu bentuk hiburan di musim perayaan.

Usaha kerajaan United Kingdom suatu ketika dahulu, untuk menubuhkan kasino secara besaran atas alasan untuk menarik pelancong dan menambah pendapatan negara, telah mendapat kecaman dari rakyat. Di Amerika Syarikat pula, walaupun di peringat Federal (Pusat) membenarkan aktiviti judi, namun setiap negeri mempunyai kuasa untuk mengharamkannya. Nevada membenarkan lesen judi pada tahun 1931 dan menjadi sumber ekonomi utama negeri, diikuti Atlantic City dan New Jersey pada tahun 1976 dan Mississipi pada tahun 1990. Kebanyakan negeri di Amerika Syarikat, hingga hari ini, masih tidak membenarkan lesen judi atas sebab kesan moral dan sosial.

Amat malang di Negara kita adanya umat Islam sendiri yang tidak takut kepada Allah dalam menjadikan judi sebagai budaya. Hanya orang yang tiada agama dan moral sahaja yang sanggup menghalalkan lesen judi. Oleh itu kita jangan menjadi rakyat yang tiada agama dan moral untuk menyokong dan bersekongkol dengan pemimpin yang tidak bermaruah. Firman Allah dalam Surah al- Muddassir ayat 42-47:
{ما سلككم في سقر . قالوا لم نك من المصلين . ولم نك نطعم المسكين . وكنا نخوض مع الخائضين . وكنا نكذب بيوم الدين . حتى أتانا اليقين
42- Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?
43- Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;
44- Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; -
45- Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang- orang yang memperkatakannya
46- Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan,
47- Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini”. (KEMATIAN)
معشر المسلمين رحمكم الله
Sewajarnya kepimpinan negara menghayati kewajipan pemerintah dan konsep maslahah yang sebenarnya. Prinsip itu terkandung dalam Siasah Syariyyah. Imam Syafie r.a. dalam kitabnya Asybah Wa al-Nazair ada membincangkan satu kaedah yang berbunyi : قضية الإمام لرعيته منوط بالمصلحة
bermaksud: Pemimpin seharusnya bertindak ke atas rakyatnya berdasarkan kesesuaian maslahah (kebajikan dan kepentingan umum).”
Dalam hal ini, ada 2 perkara yang perlu kita fahami :
Pertama : Maslahah dalam konteks ini adalah kepentingan atau kebaikan rakyat dan negara itu sendiri. Ini seperti juga yang disebut oleh al-Imam al-Syafi'e r.h: “Kedudukan pemerintah di sisi rakyat bagaikan kedudukan penjaga anak yatim” (lihat: Al-Sayuti, al-Asybah wa al-Nazair).
Persoalannya kini :
1- Apakah memberikan lesen judi itu memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum rakyat? Atau ia hanya kepentingan segelintir taukeh dan kaki judi semata?
2- Adakah tindakan seorang penjaga anak yatim, yang menggalakkan anak yatim peliharaannya berjudi, dapat kita anggap ia satu tindakan yang baik ? Adakah bapa ini layak mendapat anugerah Bapa Mithali ? Sudah pasti semua orang menjawabnya TIDAK!!.
Jika ia tidak memulangkan kepentingan umum atau kebaikan kepada rakyat maka itu bukan tindakan pemerintah yang bertanggungjawab.

Kedua: Tidak dinafikan judi dan arak memang mempunyai keuntungan dan beberapa manfaat untuk pihak-pihak tertentu. Namun, ancaman dan bahayanya jauh lebih besar , jika dibandingkan dengan manfaat yang bakal diterima. Firman Allah dalam ayat 219 surah al-Baqarah:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
(maksud) “Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia. Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219).
معشر المسلمين رحمكم الله
Justeru, biarpun Judi itu ada yang 'dilesenkan/dihalalkan' atau tidak dilesenkan keburukannya sentiasa dominan.
Ia menyebabkan pembaziran tanpa sebab, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga, menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain. Akal waras manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat.
Maka sewajarnyalah peranan pemerintah adalah mencegah keburukan, bukan menaja atau bersaing dengan penjenayah.
Cadangan tersebut hanya mengubah 'tauke' sahaja dari yang berlesen kepada yang tidak berlesen. Apakah nanti mungkin kita akan wujudkan tempat 'hisap candu berlesen' untuk mengelakkan penagih candu menghisapnya di tempat yang tidak berlesen? Juga premis perzinaan berlesen , agar pengunjungnya selamat dari tangkapan ?

معشر المسلمين رحمكم الله
Dalam situasi sebeginilah, kaedah fiqh yang berbunyi, “menangani bahaya yang umum (melibatkan masyarakat umum atau lebih besar) lebih diutamakan daripada bahaya khusus (yang bersifat peribadi dan kecil), akan dipraktikkan. Bagi sesiapa yang mempelajari Fiqhul Muwazanah (rujuk Siasah Syariyyah, Dr. Yusuf al-Qaradawi, m.s 300-301, Maktabah Wahbah, Kaherah) akan memahami dengan mudah kaedah tersebut. Kaedah yang sama dalam bahasa arab berbunyi:
"دفع المفسدة العامة يقدم على المفسدة الخاصة"
Mengelak kemudaratan umum lebih utama daripada yang khusus

"يتحمل الضرر الأدنى لدفع الضرر الأعلى"
Ditanggung mudarat yang lebih kecil kerana mengelakkan mudarat yang lebih besar

"يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام"
Ditanggung mudarat yang khusus untuk mengelak mudarat yang umum

Semua kaedah di atas mempunyai maksud yang hampir sama iaitu menjaga kepentingan umum diutamakan dengan menggadaikan kepentingan khusus atau mengelakkan bahaya yang lebih besar dan yang melibatkan masyarakat secara amnya perlu diutamakan dengan hanya menanggung bahaya yang lebih kecil atau khusus.(Qawaid Fiqhiyyah, Dr. Abdul Aziz Muhammad Azzam, m.s 144, Darul Hadith, Kaherah)

معشر المسلمين رحمكم الله
Ternyata kaedah fiqh dari warisan ilmu ini lebih dihayati oleh penganut agama lain. Dalam sesetengah negara berlumba membina pusat-pusat perjudian dengan anggapan ia dapat meningkatkan hasil pendapatan negara, lain pula halnya sebuah negeri kepulauan kecil di Pasifik, Vanuatu, yang berpenduduk hampir 300,000 orang dan majoriti beragama Kristian. Kerajaan Vanuatu telah meluluskan akta pengharaman judi di negara mereka sejak tahun 2006 dan ia tidak mendapat sebarang bantahan dari rakyat malah dialu-alukan.
Yang terkini, bermula 1 Julai 2009, Moscow di Rusia ,operasi kasino dan pusat perjudian mesin slot di seluruh Rusia mula ditutup, secara beransur-ansur. Sekiranya pungutan suara dilakukan di kalangan awam, juga ketua-ketua semua agama di Malaysia selain Islam, nescaya mereka akan bersetuju tentang kemudaratan judi dan arak kepada masyarakat, melebihi kebaikan. Semoga acara sukan dan sebagainya tidak dicemari dengan aktiviti yang tidak sihat seperti judi. Ia bukan sahaja menggalakkan mereka yang meminati sukan tersebut berminat untuk berjudi sama, malah menambah masalah judi yang sedia ada di negara kita.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن




Dicatat oleh almunabbih on Thursday, June 3, 2010

0 ulasan

Post a Comment

Total Pageviews

JADUAL KULIAH MAGHRIB & AKTIVITI DAKWAH SAYA

1- ISNIN : A] MSJD QUBA',[ TMN WAWASAN] QANUN JENAYAH SYARIYYAH

2- SELASA: MSJD BAITUR RAHMAN [MUHIBBAH BAL] TAFSIR & FIQH

3- RABU : MSJD AL-AMAN [ TANJUNG BATU ] APA YANG DISUKAI OLEH NABI SAW & APA YANG BAGINDA BENCI ?

4- KHAMIS MSJD AL-KAUTHAR [ BANDAR]

TAFSIR JUZ A'MMA

5- JUMAAT
1- TAWAU FM [KEMUSYKILAN AGAMA ]

2- MSJD BABUS SAA'DAH : [MUHIBBAH RAYA]
400 KESALAHAN DALAM SOLAT


6- AHAD : MASJID BANDAR
- HIDAYATUS SIBYAN
- FIQH BERINTERAKSI DENGAN NON-MUSLIM



Labels

Pautan

PENDAMPING SETIA

Demi Masa

Web Analytics