Isu Nama Allah: Persoalan Aqidah Bukan Perebutan Nama [ JUMAAT : 08 JAN 2010 ] MASJID BAITUR RAHMAN, MUHIBBAH BALL
الحمد لله وفق من شاء من عباده لفعل الخيرات، وتابع لهم مواسم الأعمال الصالحات، وحثهم على اغتنام الباقيات الصالحات، ووعدهم على ذلك وافر الأجر وجزيل الهبات، أحمده سبحانه على نعمه التي لا تعد، وأفضاله التي لا تحد.
وأشهد أن لا إله إلا الله، وحده لا شريك له، وأشهد أن محمداً عبدالله ورسوله، وصفيه وخليله، أخشى الناس لربه، صلى الله عليه وعلى آله وأصحابه والتابعين لهم بإحسان إلى الدين وسلم تسليماً كثيراً،
أما بعد: فأوصيكم ـ أيها الناس ـ ونفسي بتقوى الله عز وجل: ((وَاتَّقُواْ يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ)) اتقوا يومًا الوقوف فيه طويل والحساب فيه ثقيل.
Wahai hamba-hamba Allah ! Dikesempatan yg berharga ini, Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama2 meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah . Menurut Sheikh Ab Rahman as-Sa'diy dlm tafsirnya Taysir al-Karim al-Rahman, kita perlu bertaqwa kepada Allah yg telah menganugerahkan buat kita nikmat2 yg banyak, nikmat yg zahir & batin.
Sidang Jumaat yg dimuliakan Allah,
Mengulas mengenai isu penggunaan kalimah Allah seperti yang digunakan oleh Herald Tribune dalam terbitan bahasa Melayunya, mungkin ada beberapa fakta menarik yang boleh dikongsi untuk renungan kita bersama. Memang telah termaktub di antara larangan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia menerusi keputusan kabinet yang bertarikh 16 Mei 1986 bagi mana-mana agama selain Islam untuk menggunakan empat perkataan iaitu Allah, Solat, Baitullah dan Kaabah. Malah ada sesetengah negeri yang menambahkan lagi beberapa perkataan yang dianggap boleh mendatangkan kekeliruan dan bahaya kepada umat Islam apabila digunakan oleh bukan Islam. Keputusan Kementerian Dalam Negeri pada 31 Disember 2007 yg lalu, pernah melarang penggunaan nama Allah dalam surat khabar Herald adalah tindakan tepat dan positif yang bermakna bagi umat Islam.Namun yang peliknya kenapa masih lagi ada yang cuba menuntut kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan bahan bercetak mereka? Bahkan kali ini menerusi jalan perundangan pula.
Alasan Penyunting akhbar mingguan Katolik tersebut ialah , “Kami mengikut Bible. Bible dalam Bahasa Melayu menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai terjemahan untuk istilah God dan ‘Tuhan’ sebagai terjemahan untuk istilah Lord.”
Jelas bahawa makna-makna bagi istilah tersebut dalam Bible bahasa Melayu yang mereka rujuk, adalah salah.

Sama ada kita sedar ataupun tidak, tuntutan ini sebenarnya amat berbahaya kepada umat Islam sekiranya dibenarkan, atas beberapa alasan.
ALASAN 1 : Kelulusan ini, hanya lebih banyak menimbulkan kekeliruan di dalam masyarakat.
Cubalah kita bayangkan kekeliruan yang akan timbul di dalam masyarakat terutamanya kepada golongan muda dan juga kepada kanak-kanak Muslim apabila terbaca iklan-iklan atau papan-papan tanda yang berbunyi "...Aku adalah anak Allah" atau "...damai sejahtera dari Allah, Bapa kita dan dari Tuhan Jesus Kristus" atau "...anak Allah yang hidup" yang semuanya merupakan terjemahan terus dari Bible terbitan Bahasa Inggeris. Kalau kita memerhatikan di daerah Tawau ini pun, sudah ada label-label premis gereja yang berani memaparkan nama Allah. Sebagai contohnya di Bandar Seri Indah , di Batu 10 sana, ada sebuah gereja yang berbunyi “ Domba Allah “. Sebenarnya banyak lagi ayat-ayat atau ungkapan-ungkapan yang diterjemahkan ini boleh mengundang kekeliruan yang akhirnya boleh merosakkan fahaman agama.
معشر المسلمين رحمكم الله
ALASAN KE 2: adalah dari sudut penggunaan bahasa.
Bagi menyingkap kekeliruan yang telah berlaku ini, elok rasanya kita melihat kepada asal-usul bahasa kitab-kitab itu sendiri. Bagi orang Islam dan juga bukan Islam, mudah untuk difahami dan diberitahu bahawa bahasa asal al Quran adalah Bahasa Arab. Dan apakah pula bahasa yang digunakan untuk kitab Injil (Bible) dan kitab Taurat? Bagi mereka yang mengkaji sejarah, secara jujur mereka akan katakan bahasa asal untuk kitab Taurat ialah Bahasa Hebrew, dan bahasa yang digunakan untuk menulis Kitab Injil (Bible) ialah Bahasa Greek.
Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah Elohim, Eloh, El dan juga Yahweh. Ini dapat diperhatikan menerusi Perjanjian Baru, di dalam The Gospel of St. Matthew bab 27: 46 dan lain-lain rujukan dlm Injil. Sementara di dalam bahasa Greek pula perkataan yang membawa maksud Tuhan ialah Theos. Jika diteliti, kita akan dapati bahawa untuk kedua-dua bahasa sama ada Hebrew ataupun Greek yang dijadikan penulisan bagi kedua-dua kitab suci ini, tidak terdapat satu pun kalimah Allah digunakan.
Yang paling penting kini ialah, kita perlu jelas bahawa nama Allah telah menjadi nama khas bagi Tuhan umat Islam. Perlu dibezakan antara kalimat Allah dari sudut bahasa yang telah wujud sejak zaman Jahiliyyah dengan kalimat Allah yang telah diIslamkan setelah menjadi istilah atau nama khas. Jika kita perhatikan kalimat tawhid: la ilaha illa Allah. Ia tidak bermakna tiada tuhan melainkan Tuhan, tetapi tiada tuhan melainkan Allah. Kerana jika ia bermakna tiada tuhan melainkan Tuhan, maka tidak ada maknanya seseorang mengucapkan kalimat tawhid itu. Oleh kerana itu sarjana-sarjana Islam tidak bersetuju untuk menggantikan Allah dengan God dalam bahasa Inggeris.

ALASAN KE 3 : KEKHUSUSAN NAMA ALLAH .
Pengislaman nama Allah ini juga jelas apabila kita lihat surah al-Ikhlas, antara surah terpenting dalam al-Quran, yang menjelaskan siapakah Allah dan apakah sifat-sifatnya. Firman Allah dlm surah ke 112, yg berbunyi :
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ
(1) اللَّهُ الصَّمَدُ (2) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ (4)
Katakanlah Wahai Muhammad;Dia-lah Allah,Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia (al-Ikhlas: 1-4).
Berdasarkan Surah diatas, sebagai orang Islam kita mesti yakin bahawa yang bernama Allah adalah yang mempunyai sifat-sifat tersebut. Dalam erti kata lain kita tidak mengakui bahawa yang tidak mempunyai sifat-sifat tersebut juga adalah Allah. Memang masyarakat Jahiliyyah menggunakan nama Allah, tetapi nama Allah disitu digunakan dari sudut bahasa sahaja dan sebelum perkataan itu diIslamisasikan. Ia kemudian menjadi nama khusus yang merujuk kepada sifat-sifat di atas. Kata-kata solat, contohnya, dari segi bahasa adalah doa dan telah digunakan oleh orang Arab sejak pra-Islam lagi, ia kemudian menjadi istilah yang merujuk khusus kepada apa yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. Oleh itu kita tidak boleh mengatakan orang Katolik juga melakukan solat hanya kerana mereka berdoa di gereja. Maka, bertitik tolak dari hujah tadi, seandainya pihak Kristian tetap ingain menggunakan Nama Allah tadi, dia Wajib memastikan Allah yang dikatakan sebagai Tuhannya itu, mesti memiliki sifat-sifat khusus sebagai Tuhan, bukannya keyakinan yang bercelaru dengan konsep Triniti @ 3 Tuhan dlm 1 keadaan. Ternyata mereka tdk boleh menerima konsep Ketuhanan Allah yg Esa ini. Nah !! kalau begitulah keadaannya, buat apa lagi nak ditulis Kalimah Allah, pada akhbar itu, kalau ia tdk memiliki cirri-ciri khusus sebagai Tuhan Umat Manusia?
معشر المسلمين رحمكم الله
ALASAN KE 4 : SERANGAN SARAF & HALUS KEPADA AQIDAH UMAT ISLAM
Umat Islam perlu melihat apa yang berlaku di sebalik persoalan nama Allah ini. Jika kita lihat dengan teliti isu ini dengan isu-isu yang sebelumnya kita akan dapat melihat hubungannya. Contohnya isu pluralisme agama yang giat dipromosikan oleh orang bukan Islam dan sebahagian orang Islam sendiri iaitu Islam Liberal. Para pendukung pluralisme agama ini berusaha untuk mendangkalkan makna-makna atau menyempitkan kata kunci dalam agama. Mereka mengatakan bahawa Tuhan dalam agama manapun pada peringkat tertinggi (transcendental) adalah sama. Bagi umat Islam, konsep Tuhan kita jauh berbeza dengan konsep Tuhan dalam agama mana pun. Pendukung pluralisme agama juga menekankan wujudnya persamaan antara agama-agama dan perbezaan perlu diketepikan untuk kebaikan bersama. Padahal bagi kita perbezaan prinsip asas, antara Islam dengan agama lain walaupun sedikit adalah sangat penting dan tidak boleh dipinggirkan. Hal ini jelas menerusi firman Allah dlm ayat terakhir Surah al-Kafiruun : لكم دينكم ولي دين “ Yg bermaksud : Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.
Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah sarjana Islam yang paling tegas dalam hal pemberian nama atau istilah ini. Bagi beliau banyak kekeliruan berpunca daripada penamaan yang jauh daripada maksud & hakikat sebenar perkara tersebut.
Sidang Jumaat yg dimuliakan Allah,
Seorang tokoh pemikiran Islam, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, beliau memberitahu dan berhujah bahawa situasi yang kelihatan sedang berlaku sekarang, ialah proses deislamisasi [ mengurangkan pengaruh Islam],dengan membawa makna-makna yang asing dan berlawanan dengan aqidah dan pandangan alam Islam, samada aliran-aliran sekular atau dari agama-agama lain. Prof Wan Mohd Nor juga berkata setiap istilah dalam semua bahasa mempunyai batas-batas makna yang sah yang mencerminkan pandangan alam tertentu, dan yang membezakan sesuatu istilah itu dengan yang lain. Persamaan yang banyak pun masih memerlukan istilah atau nama yang berbeza jika terdapat hanya satu perbezaan yang penting. Sebab itulah semua bahasa-bahasa yang tinggi mempunyai kamus. Keldai, kuda, baghal banyak persamaan tetapi terdapat perbezaan; dua manusia kembar siam juga diberi nama yang berbeza. Orang bukan Islam boleh mempekayakan kamus peristilahan Bahasa Melayu dengan menggunakan nama lain bagi Tuhan mereka.

ALASAN KE 5 : Tindakan membiarkan pihak Kristian menggunakan kalimat Allah bukan satu toleransi tetapi satu penggadaian hak dan kedaulatan.
Ia adalah satu kerugian yang besar dan kelemahan yang nyata apabila umat Islam membiarkan penganut agama lain menyempitkan kan konsep dan istilah penting dalam Islam. Perkataan Allah, solat, tawhid, rasul, bahkan istilah Islam itu sendiri membawa makna yang tersendiri setelah diislamisasikan. Kalimat-kalimat ini telah menjadi bahagian penting daripada pandangan sarwa Islam (Islamic worldview). Jika ia dikaburkan maka sudah tentu akan memberi kesan kepada pemikiran dan aqidah umat Islam. Sesiapa pun yang ingin memahami persoalan ini perlu sedar bahawa beberapa istilah keagamaan tertentu telah menjadi milik umat Islam. Sebarang tindakan mengimportnya boleh dianggap sebagai penyalahgunaan dan pencabulan terhadap agama Islam. Istilah-istilah keagamaan mesti dihormati, dari agama manapun ia datang, oleh penganut agama lain. Islam tidak pernah mempertikaikan Nama dan istilah tertentu seperti Pope, Paderi (priest), Sami (Monk) dalam agama-agama lain, dan menjelaskan bahawa istilah tersebut, tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh penganut agama lain. Ini bukan sahaja kerana ia telah sinonim dengan agama penggunanya tetapi juga kerana kalimat ini telah diwarnai atau mengandungi pandangan sarwa penggunanya.

Justeru,Umat Islam mesti mempertahankan nama Allah untuk tidak digunakan oleh orang bukan Islam selagi termampu. Jelaslah isu ini bukan isu perebutan nama tetapi isu yang menyangkut jantung aqidah. Ia juga berkaitrapat dengan pendangkalan makna Allah untuk memenangkan pemikiran pluralisme agama. Kita tidak boleh membiarkan pendangkalan makna tersebut berlaku tanpa penolakan umat Islam. Adalah menjadi tanggungjawab semua orang Islam untuk menentang segala usaha mendangkalkan makna dalam Islam.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن

Dicatat oleh almunabbih on Thursday, January 21, 2010
categories: edit post

0 ulasan

Post a Comment

Total Pageviews

JADUAL KULIAH MAGHRIB & AKTIVITI DAKWAH SAYA

1- ISNIN : A] MSJD QUBA',[ TMN WAWASAN] QANUN JENAYAH SYARIYYAH

2- SELASA: MSJD BAITUR RAHMAN [MUHIBBAH BAL] TAFSIR & FIQH

3- RABU : MSJD AL-AMAN [ TANJUNG BATU ] APA YANG DISUKAI OLEH NABI SAW & APA YANG BAGINDA BENCI ?

4- KHAMIS MSJD AL-KAUTHAR [ BANDAR]

TAFSIR JUZ A'MMA

5- JUMAAT
1- TAWAU FM [KEMUSYKILAN AGAMA ]

2- MSJD BABUS SAA'DAH : [MUHIBBAH RAYA]
400 KESALAHAN DALAM SOLAT


6- AHAD : MASJID BANDAR
- HIDAYATUS SIBYAN
- FIQH BERINTERAKSI DENGAN NON-MUSLIM



Labels

Pautan

PENDAMPING SETIA

Demi Masa

Web Analytics