17 JUN 2011 PELIHARA AQIDAH DARI KHURAFAT MASJID SRI RANGGU
الحمد لله ذي الجلال والإكرام، الملك القدوس السلام، المؤمن المهيمن العلام. الذي منَّ علينا بأن هدانا إلى الإيمان والإسلام، وجعلنا من خير أمة أخرجت للناس والأنام، أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
معشر المسلمين رحمكم الله
Sidang Jumaat yang diberkati Allah, dalam sebuah fakta terkini yang mengejutkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, membentangkan di Parlimen Malaysia, bahawa Mahkamah Syariah di Malaysia telah menerima 863 kes permohonan daripada orang Islam, untuk menukar status agama Islam mereka kepada agama lain, sejak 10 tahun yang lalu, bermula dari tahun 2000 hingga 2010.
Mengikut kiraan Malaysiakini pula, jumlah permohonan untuk murtad adalah sebanyak 686, manakala permohonan yang diluluskan pula adalah 135 orang.
Jumlah permohonan untuk meninggalkan Islam yang terbesar adalah di Sabah – 238, Negeri Sembilan – 172, Selangor - 99 dan Perak – 47. Tiada permohonan murtad dicatatkan di Kelantan.Mengikut data yang dibekalkan, jumlah tertinggi kes Murtad yang diluluskan adalah dari Sabah iaitu seramai 67 orang dan diikuti dari Negeri Sembilan dengan 33 orang.
معشر المسلمين رحمكم الله
Bagaimanapun dalam Khutbah saya kali ini, saya suka untuk mengajak kita berfikir lebih jauh dari semua bancian di atas. Bagi saya umat Islam kini ditimpa penyakit dan 'virus' aqidah dan kepercayaan yang agak serius. Hasil dari penyakit ini, 'antibodi' iman umat Islam menjadi semakin luntur dan amat goyah, sehingga timbulnya isu murtad, kebencian kepada hukum hakam Islam, ambil mudah & sambil lewa berkenaan hukum dan bertindak mempelecehkan Islam secara sedar mahupun tidak sedar. Minat untuk menimba ilmu Islam juga menjadi semakin pudar, yang meningkat adalah dorongan untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan itu, menerusi adat semata-mata.
Baru di pagi Khamis kelmarin, saya menerima khabar bahawa di sebuah sekolah rendah, telah didatangi oleh sepasang suami isteri dan seorang dukun. Bersama-sama mereka ialah 2 ekor ayam kampong & segenggam beras kuning yang dibawa bersama. Apa yang menyebabkan mereka ini datang, adalah ekoran daripada 2 kali anak kesayangan mereka jatuh sakit & pengsan di sekolah. Akhirnya setelah bertemu & menerima firasat sandro, katanya gangguan itu datangnya di kawasan sekolah. Maka untuk menghilangkan gangguan itu upacara “ meleppe’ manuk @ melepaskan ayam “ wajib dijalankan. Masyaallah, kenapakah peristiwa sebegini harus terjadi ? Kita dikenali sebagai orang yang tidak pernah meninggalkan sembahyang, tetapi dimanakah penghayatan terhadap lafaz syahadah yang kita ulang-ulangkan itu ?
Kononnya bila dijalankan upacara meleppe’ tadi, benda yang mengganggu semangat anak tadi akn beralih kepada ayam pula. Janganlah menghisap darah anak tadi, tapi hisaplah darah manuk yang dilepaskan. Janganlah lagi mengacau anak tadi, tapi kalau nak ganggu juga, berpindahlah kepada ayam. Kesian kepada ayam. Dia pula yang menjadi mangsa keadaan. Patutlah banyak ayam yang mati terkena sampar & hawar, gara-gara tertekan @stress dgn situasi sedemikian. Tapi, yang paling menghairankan jua, ada juga orang yang berani menangkap ayam & memelihara ayam yg telah dibaca jampi serapah tadi…bukankah ayam itu telah dicemari dengan ruh jahat padanya ? Kenapa kita pula berani berdampingan dengannya..
معشر المسلمين رحمكم الله
Perlu difahami bahawa, isu yang berkaitan dengan perkara ghaib seperti mengetahui perihal sejarah silam, ramalan bala, ramalan perkara yang akan datang, mengetahui sesuatu tentang gangguan makhlus halus dan yang seumpama dengannya adalah satu keyakinan yang mesti di sumberkan kepada 3 sumber sahaja. Iaitu :-
a) Al-Quran b) Hadith Sohih dan Hasan c) Fitrah kejadian alam (sunatullah)
Tanpa ketiga-tiga ini, kepercayaan tadi dengan mudah boleh membawa kepada gejala tilikan dan ramalan ghaib yang tidak diizinkan oleh Allah SWT dan RasulNya, sebagainya firmanNya di dalam surah al-Mukminun :
{وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ (71)}
Ertinya : "Andaikata kebenaran itu mengikuti hawa nafsu mereka, niscaya akan rusaklah langit dan bumi serta seluruh makhluk yang ada di dalamnya." (al-Mu'minun: 71)
Hasil dari kepercayaan ghaib tanpa didasari oleh tiga asas tadi, maka ramailah di kalangan umat Islam yang dihinggapi virus kerosakan aqidah. Isu berkaitan “melepaskan ayam” untuk sesuatu niat kesejahteraan ini adalah termasuk dalam bab : Tatayyur / Tiyarah ( Sial Menyial). Ia juga melibatkan gabungan unsure memohon sesuatu kepada selain Allah & percaya bulat-bulat kepada ramalan sandro dan dukun, semuanya ini adalah Khurafat dan menyesatkan.
معشر المسلمين رحمكم الله
Tatayyur atau Tiyarah berasal dari perkataan ( الطَّيْرُ ) : burung. Menurut kepercayaan orang Arab jahilyyah jika mereka akan mengadakan perjalanan, maka mereka terlebih dahulu akan melepaskan burung. Jika burung tersebut terbang ke arah kanan rumah maka mereka akan gembira tetapi jika sebaliknya terbang ke arah kiri maka mereka akan bersedih hati kerana itu petanda musibah akan menimpa dan mereka selanjutnya akan menangguhkan pemergian ke tarikh lain . Kalau masyarakat Arab Jahiliyyah dahulu melepaskan burung di udara, kita pula melepaskan manuk.
Mengambil sempena perbuatan inilah maka muncul istilah Tatayyur atau Tiyarah. Islam melarang keras tatayyur / tiyarah [atau 'membuang sial & keteguran ini'] . Rasulullah s.a.w. bersabda :
اَلطِّيَرَةُ شِرْكٌ ، اَلطِّيَرَةُ شِرْكٌ
Ertinya : Tiyarah itu syirik , tiyarah itu syirik ( HR Abu Daud dan Tarmidzi - Menurut Tarmidzi : Sahih )
معشر المسلمين رحمكم الله
Jadi jika ada perasaan murung mengenang nasib malang (musibah) yang akan menimpa (bad luck - unlucky) yang dikaitkan dengan hari, bulan, angka, ucapan, orang tertentu & tempat-tempat keras tertentu, ini ialah = Tiyarah. Jika wujud keyakinan seperti kenan, tersampuk hantu atau keteguran & kesialan ini juga adalah Tiyarah.
Tiyarah dihukumkan syirik kerana mengaitkan musibah yang menimpa kepada selain Allah dan meyakini musibah berpunca dari makhluk seumpama Jin @ Syaitan. Biarpun ia melibatkan Jin & Syaitan, ia tetap makhluk yang tidak sedikitpun memiliki kuasa mendatangkan manfa'at atau mudharat. Sebenarnya tiyarah berpunca daripada was-was syaitan yang menimbulkan perasaan takut. Jika hal ini terjadi maka ia dapat merosakkan tawakkal seseorang kepada Allah 'Azza Wa Jalla.
Tiyarah sebenarnya penyakit yang muncul sejak zaman silam lagi. Allah menerangkan orang-orang kafir telah melakukan tiyarah terhadap manusia pilihan Allah dari kalangan para rasul dan orang-orang yang beriman.
قَالُوا إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ لَئِنْ لَمْ تَنْتَهُوا لَنَرْجُمَنَّكُمْ وَلَيَمَسَّنَّكُمْ مِنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ (18) قَالُوا طَائِرُكُمْ مَعَكُمْ أَئِنْ ذُكِّرْتُمْ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ (19)
Mereka menjawab : " Sesungguhnya kami bernasib malang kerana kamu, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti (menyeru kami), niscaya kami akan merajam kamu dan kamu pasti akan mendapat siksa yang pedih dari kami ". Utusan-utusan itu berkata: " Kemalangan kamu itu adalah kerana kamu sendiri. Apakah jika kamu diberi peringatan (kamu mengancam kami)? Sebinarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas ". ( Yaasiin : 18 - 19 )
Oleh itu Rasulullah s.a.w. mengajar umatnya jika ditimpa perasaan tersebut maka ia jangan hiraukan perasaan tersebut dan hendaklah ia segera berserah diri kepada Allah dengan membaca doa ini :
اَللَّهُمَّ لاَ يَأْتِى بِالْحَسَنَاتِ إِلاَّ أَنْتَ ، وَلاَ يَدْفَعُ السَّيِّئَاتِ إِلاَّ أَنْتَ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِك .
Ya Allah, tiada yang dapat mendatangkan kebaikan kecuali Engkau, dan tiada yang dapat menolak keburukan kecuali Engkau, dan tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan izin Engkau. ( Riwayat Abu Daud ).
Adapun ayam yang dilepaskan itu, daripada dilepaskan begitu sahaja atau diambil oleh sesiapa sahaja, alangkah baiknya digantikan budaya itu dengan sesuatu yang lebih Islamik & bertepatan dengan Syarak. Bukankah lebih bermanfaat ayam tadi dipotong, lantas dimasak sesuatu yang melazatkan seperti ayam masak likku’, lantas dijemput jiran-jiran terdekat untuk menikmatinya. Bukankah kenduri sebegitu amat dianjurkan Syarak kerana berbuat Ihsan terhadap sesame manusia. Bukankah amalan baik akan mengundang Rahmat keatas isi rumah tersebut ? Dan apabila isi rumah itu dirahmati Allah, pasti Allah akan menjamin keselamatan mereka dari gangguan Syaitan.
Siding Khutbah yang dirahmati Allah sekalian…
Daripada bacaan jampi serapah yang tidak jelas maknanya, alangkah baiknya jika dibacakan doa selamat & dipohon kesejahteraan, daripada Pemilik sekalian alam. Bukankah ini lebih dituntut agama, daripada meminta kepada yang bukanb-bukan ? Justeru, hindarilah siding khutbah sekalian, daripada budaya khurafat sebegini, kerana Rasulullah s.a.w. mengishtiharkan perang dengan sebarang dakwaan dusta yang tidak berlandaskan ilmu, petunjuk mahupun dalil syara'. Rasulullah membacakan ayat kepada mereka yang sering mempercayai firasat sandro tadi, dengan wahyu Allah dalam surah an-Naml: 65, yang berbunyi:
{قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ (65)} [النمل : 65]
"Katakanlah! Tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib di langit dan di bumi melainkan Allah semesta, Bukan Malaikat, bukan jin dan bukan manusia yang mengetahui perkara-perkara ghaib.
Rasulullah juga menegaskan tentang dirinya dengan perintah Allah s.w.t. sebagai berikut:
{قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (188]
"Kalau saya dapat mengetahui perkara ghaib, niscaya saya dapat memperoleh kekayaan yang banyak dan saya tidak akan ditimpa suatu musibah; tidak lain saya hanyalah seorang (Nabi) yang membawa khabar duka dan membawa khabar gembira untuk kaum yang mau beriman." (al-A'raf: 188).
Oleh karena itu, barangsiapa mengaku dapat mengetahui perkara ghaib yang sebenarnya, bererti dia mendustakan Allah, mendustakan kenyataan dan mendustakan manusia banyak
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
0 ulasan