MASJID BAITUL RAHMAN & HIDAYATUL MUSTAQIM IHTIKAR DI TAWAU 23 APRIL 10
الحمد لله جامعِ الشتات، ومحيي الأموات، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، شهادةً تكتبُ الحسناتِ ،وتمحو السيئاتِ، وتنجي من المُهلكات، وأشهد أن محمدا عبده ورسُوله المبعوثُ بجوامع الكلمات، الآمرُ بالخيراتِ الناهي عن المنكراتِ صلى الله تعالى عليه وعلى آله وصحبه صلاة دائمةً بدوام الأرض والسماوات
أَمَّا بَعْدُ، فِيَا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُوْنَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Dalam urusan jual-beli & bisnes, kadang-kadang manusia lupa bahwa semua aktiviti yang dilakukannya seharusnya dikerjakan dalam kerangka “ibadah”. Sehingga setiap orang harus berfikir, bagaimana untuk merangka & menciptakan kepentingan bersama & kebaikan yang bertimbal-balik antara sesama manusia. Salah satu punca “lupa”-nya manusia dalam berjual-beli, adalah ketika “dia” hanya bertujuan untuk mencari untung bagi dirinya sendiri, atau kumpulannya tanpa memperdulikan kepentingan orang lain. Sehingga sangat mungkin dia akan berusaha hanya untuk mencari untung bagi diri sendiri atau kelompoknya dengan cara merugikan orang lain. Salah satunya dengan cara melakukan ihtikar iaitu (monopoli,menimbun , menyorok @ menapuk barang). Apakah pengertian ihtikar, bagaimana modus-operandinya di Tawau, dan kesan & implikasinya dari sudut hukum, akan dikupas secara ringkas dalam Khutbah ini.
معشر المسلمين رحمكم الله
1. Pengertian Ihtikar Ihtikar berasal dari kata hakara yang bererti az-zulm (aniaya) dan isa' al-mu'asyarah (merusak pergaulan). Secara istilah bererti menyimpan barang dagangan untuk menunggu lonjakan harga yang tinggi & melambung di pasaran. Di ketika itu, barulah barangan yang disorok tadi akan dijual semula. Para ulama mengemukakan definisi ihtikar yakni:1- Imam Muhammad bin Ali Asy-Syaukani (ahli Fiqih Madzhab Zaidiyah) mendefinisikan “penimbunan/penahanan barang dagangan dari peredarannya.”2- Imam Al-Ghazali (Mazhab Syafie) mendefinisikannya “penyimpanan barang dagangan oleh penjual makanan untuk menunggu lonjakan harga yang tinggi & melambung di pasaran”.3- Ulama Mazhab Maliki mendefinisikannya dengan “penyimpanan barang oleh pengeluar barangan, samada makanan, pakaian dan segala barangan, yang andai disorokkan sementara, akan menyebabkan kepincangan dan gangguan kepada penjualannya dalam lingkungan masyarakat. .”
4- Seorang Ulama’ di era moden ini, Dr Fathi ad-Duraini seorang pakar di bidang fiqh dan usul fiqh, di Fakulti Syariah Universiti Damascus, memberikan suatu pengertian yang lebih menyeluruh. Menurutnya, ihtikar adalah tindakan menyimpan harta, manfaat atau jasa serta enggan untuk menjual dan memberikan harta dan jasanya kepada orang lain, sehingga harga pasaran naik melonjak secara mendadak, kerana persediaan terbatas atau stok hilang sama sekali dari pasaran, sementara keperluan masyarakat atau haiwan amat mendesak untuk mendapatkan barang, manfaat atau jasa tersebut.Keempat-empat definisi tesebut, boleh dikatakan mempunyai pengertian yang sama, iaitu ada usaha dari sesuatu pihak memonopoli & mengawal barangan, pada saat barang itu amat diperlukan atau dijangkakan harganya akan naik, seperti kenaikan harga petroleum, beras dan terkini adalah gula.
معشر المسلمين رحمكم الله
Bagaimana pula dengan modus-operandinya di Tawau ?
Dalam konteks di Tawau, ianya berlaku dalam beberapa keadaan, khasnya dalam penjualan gula.
1- Ada orang yang hanya semata-mata mendapatkan lesen jualan runcit, tapi dia tidak membuka kedai runcit pun. Tapi dengan lesen yang dimiliki, dia berjaya mendapatkan bekalan gula dalam jumlah yang begitu banyak. Gula tersebut hanya disimpan didalam stok, hingga harganya melambung naik, barulah dijual semula nanti. Kalau tidak dijual di Tawau ini pun, ia pasti akan dijual ke seberang.
2- Ada juga yang memiliki lesen runcit, bila mendapat bekalan yang banyak, dia bertindak menjadi orang tengah yang memasarkan gulanya kepada peniaga-peniaga runcit kecil-kecilan di kawasan kampong, pedalaman, felda dan kem. Peniaga –peniaga kecil di felda & kem sebegini, dalam keadaan terdesak, terpaksa juga mengambil gula tersebut biarpun ditawarkan dengan harga RM 2.50 bagi pek 1 kg. bayangkanlah, kalau modalnya sahaja sudah mencecah RM 2.50, berapa agaknya pula yang bakal dijual terhadap pembeli-pembeli di kampung-kampung? Pastilah harganya melambung bukan. Maka tidak hairan mengapa harga gula di felda @ kem hingga sampai mencecah ke RM 3.50 bagi 1 kg gula !!
3- Bagi sesetengah kedai borong barangan runcit di Tawau, yang kebanyakannya dimiliki oleh bangsa asing, mereka hanya akan menjual sedikit sahaja gula di pasaran dengan harga subsidi iaitu RM 1.75 se kg. yang selebihnya akan disimpan. Bila pelanggan bertanya, dibilangnya gula habis. Gula ini hanya akan keluar dalam 2 keadaan :
i - bila diminta beli oleh pelanggan-pelanggan utamanya sahaja, dengan harga yang telah dirundingkan sesame mereka.
ii – bila tibanya hari perayaan, ketika itu keperluan masyarakat makin meningkat, biar dinaikkan harga berapa banyak pun, akan tetap ada orang yang membelinya. Maka tidak hairan nanti, andai harga kuih di Bazar Ramadhan, akan naik lagi.
4- Ada juga yang menjalankan kegiatannya secara solo & tersembunyi. Orang ini akan mengunjungi setiap kedai & pasaraya di Tawau setiap hari. Dia hanya menbeli dalam jumlah 1 ke 2 kg gula sahaja sehari. Tapi gula itu akan disimpannya dan akan dijualnya dengan harga yang tinggi nanti.
5- Paling membimbangkan, rakyat di Tawau ini, bukan main susah dan payah untuk mendapatkan bekalan hanya 1 kg gula. Itupun untuk keperluan harian sahaja. Sedangkan , bila kita ke jeti feri untuk ke seberang, bukan main banyak & berkarung lagi gula yang terjual kesana. Sedangkan secara datanya, penduduknya disana, tidaklah ramai sangat pun. Banyak lagi penduduk di Tawau ini yang amat memerlukan gula itu .
معشر المسلمين رحمكم الله
Aspek terakhir ialah kesan & implikasi IHTIKAR dari sudut hukum
Para ulama sepakat mengatakan, bahwa Ihtikar tergolong dalam perbuatan yang dilarang & hukumnya haram. Ini berdasarkan kepada ayat-ayat Quran yang bersifat universal berikut : menyatakan, bahwa setiap perbuatan aniaya, khianat & menyusahkan, yang termasuk di dalamnya ihtikaar , adalah diharamkan oleh Islam.Firman Allah dalam surat Al-Maidah:2
{ وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ [المائدة : 2]
… Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan kebajikan dan taqwa dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan menimbulkan permusuhan … (Al-Maidah:2)
Firman Allah lagi :{ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ [الحج : 78]
Dan Dia tidak sekali-kali menjadikan untuk kamu dalam urusan agama itu suatu kesempitan (Al-Hajj: 78)
Sabda Rasulullah SAW:
من دخل فى شيء من أسعار المسـلميـن ليغليه عـليهم كان حقا عـلى الله أن يعـقـده بعظـم من النـار يوم القيامة
“Siapa yang merosak harga pasaran hingga harga itu melonjak naik, maka Allah akan menempatkannya di dalam neraka pada hari kiamat.” (HR. Thabrani)
Dalam riwayat Ibnu Umar , Rasulullah SAW juga mengatakan, ”Para peniaga yang menyembunyikan barang makanan yang merupakan keperluan manusia, selama 40 hari, maka dia terlepas dari hubungan dengan Allah, dan Allah pun melepaskan hubungan dengan-nya.”
Seluruh ulama sepakat menyatakan ihtikar itu hukumnya haram, walaupun terjadi perbezaan pendapat tentang cara penetapan hukum tersebut, sesuai dengan sistem pemahaman hukum yang dimiliki oleh mazhab masing-masing.1- Ulama Mazhab Syafi’e, Hanbali, Maliki, Zaidiyah dan Az-Zahiri berpendapat bahawa melakukan ihtikar itu hukumnya haram, berdasarkan ayat dan hadits yang telah disebutkan diatas.2- Menurut kalangan Mazhab Maliki, ihtikar itu hukumnya haram dan harus dicegah oleh pemerintah dengan segala cara & kaedah penguatkuasaan, karena perbuatan itu membawa mudharat yang besar terhadap kehidupan masyarakat dan Negara. Oleh karena itu, setiap pihak harus segera campur tangan untuk mengatasinya sesuai dengan kaidah fiqh yang mengatakan :
حق الغير محافظة عليه شرعاhak orang lain terpelihara menurut syara’.
Berkaitan dengan fungsi pemerintah, Fathi ad-Duraini menyatakan, bahawa ada kaidah fiqh yang berbunyi:
تصرف الامام علي الرعية منوط بالمصلحة“tindakan penguasa harus senantiasa menuju kepada kemaslahatan orang ramai.”
Kesimpulannya :
Asy Syaukani mengatakan [Nailul Authaar, Jilid 4/338], “ Sebab pengharaman ini ialah : apabila perbuatan monopoli barangan itu, akan merugikan kaum muslimin. “
Dalam masalah ini ihtikar yang paling utama yang harus diperhatikan adalah hak konsumer/pengguna, kerana ia melibatkan orang ramai. Sedangkan hak penjual yang melakukan ihtikar (penyembunyian barangan ) itu,hanya merupakan hak peribadi. Tetapi dalam Islam, sekiranya hak peribadi bertentangan dengan hak orang ramai, maka hak orang ramailah yang harus diutamakan dan didahulukan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِيْ القُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِيْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ
0 ulasan