Hari ni saya dikejutkan dengan 1 persoalan yang cukup menarik, tapi agak mengejutkan !!! Kenapa saya katakan begitu ? Sila baca soalan yang saya 'copy' dari ruangan shoutmix ini terlebih dahulu :
" Salam ustaz, sah atau tidak bila seorang lelaki di paksa menikahi seorang wanita yang tidak dicintainya atas alasan wanita itu tidak mahu berkahwin dengan lelaki lain selain lelaki itu, dalam majlis pernikahan itu pihak keluarga perempuan telah mengambil seorang jurunikah yang tidak diketahui statusnya samada jurunikah itu bertauliah atau telah dilantik oleh jabatan agama Islam atau tidak dan saksi pernikahan itu juga, tidak dpt di pastikan layak menjadi saksi atau tidak.. pernikahan itu juga tidak didaftarkan kepada pej agama dan tiada bukti bertulis bahawa mereka sah bergelar suami isteri.. manakala keluarga pihak perempuan menganggap mereka sudah suami isteri mungkin disebabkan kejahilan mereka sendiri. Dan akhirnya apa yang harus lelaki itu lakukan, disebabkan dia tidak suka dengan pernikahan itu perlukah dia menceraikan wanita itu atau tidak ? kerana status pernikahan itu tidak diketahui, tetapi lelaki itu telah nekad untuk memutuskan hubungan dengn wanita itu.. mungkin utsz ada panduan yang boleh di berikan kepada tuan empunya masalah ini ".. Agak mengejutkan bukan ? Saya hanya sekadar menjawab persoalan ini dengan beberapa catatan ringkas, kerana hal munakahat sebegini, sepantasnya dirujuk kepada pihak JHEAINS & Mahkamah Syariah, kerana, selain dari soal hukum, kita juga terikat dengan Enakmen Kekeluargaan Islam Tahun 1992.
Sepertimana yang semua kita maklumi, pernikahan ini adalah 1 amanah yang cukup penting. Kerana itu, untuk menegakkan amanah ini, ia memerlukan kepada 5 rukun nikah yang cukup penting, iaitu :
1- Suami [ Pengantin Lelaki ]
2- Isteri [ Pengantin Wanita ]
3- Saksi [ 2 orang yang dipercayaai ]
4- Wali [ mengikut aturan ketertiban Wali @ Wali Hakim yang dilantik & bertauliah ]
5- Aqad [ Ijab dan Qabul ]
Kalau salah 1 daripada kelima-kelima rukun ini, telah rosak & punah, maka akan hancur & musnahlah jua institusi pernikahan yang dibina. Meneliti persoalan Zee tadi, saya juga cuba meminta pandangan daripada Tuan Imam Daerah Tawau, al-Fadhil Ustaz Abdul Rahman B. Hj Ibrahim, kerana beliau juga adalah seorang Jurunikah & mengetuai Unit Nikah Cerai & Rujuk di Pejabat JHEAINS. Berikut adalah respons segera daripada beliau :
1- HUKUM PERNIKAHAN PAKSA SEBEGITU :
Istilah ' Kahwin Paksa ' ni hanya khusus untuk Bakal Pengantin Wanita sahaja. Sebab dia yang terpaksa berkahwin atas pilihan keluarga, walaupun mungkin sudah ada pilihan sendiri. Dalam isu ini, mungkin gadis dikahwinkan oleh Bapa atau Datuknya sendiri yang memang bertaraf Wali Mujbir.
Adapun Pengantin Lelaki, kalau sudah dia sendiri melafazkan " Aku terima nikah si fulanah binti fulanah , dengan mas kahwin sebanyak RM..... Tunai ", bermakna dia sendiri dah REDHA & MENERIMA perkahwinan itu ! Islam berhukum dari sudut yang zahir sahaja. Kalau dia sendiri dah terima, bermakna setujulah tu. Yang dalam hatinya Wallahua'lam...
2- JURUNIKAH TIDAK BERTAULIAH DAN SAKSI TIDAK CUKUP KRETIRIA :
Menurut Enakmen Kekeluargaan Islam yang diaktakan pada Tahun 1992 di Sabah ni,
1-sebarang pernikahan yang dilangsungkan SEBELUM Tahun 1992, adalah SAH walau sesiapapun Jurunikah/ Wali & Saksinya
2- sebarang pernikahan yang dilangsungkan SELEPAS Tahun 1992, adalah TIDAK SAH kalau Jurunikah / Wali & Saksinya bukan seorang yang bertauliah.
Bila tidak bertauliah, WALI / JURUNIKAH tersebut disifatkan FASIQ. Bila WALI / JURUNIKAH nya FASIQ, pernikahan tadi adalah TIDAK SAH.
3- BILA PERNIKAHAN TIDAK SAH :
Bila pernikahan ini TIDAK SAH, dari segi Enakmennya, saya menasihatkan Pengantin Lelaki ini, perlu :
1- Maklumkan kes ini kepada pihak JHEAINS & pihak berwajib untuk tindakan susulan.
2- Sila hubungi Tn Imam Daerah Tawau, al-Fadhil Ustaz Abdul Rahman B. Hj Ibrahim,di talian ini untuk menerima khidmat nasihat beliau : 019- 8695550
SATU PERINGATAN :
Kalaulah ada di luar sana pasangan yang pernah melalui situsi KAHWIN PAKSA ini, tetapi ternyata pernikahan itu diuruskan menurut prosedurnya yang sah . dan dikendalikan oleh Jurunikah yang bertauliah, bererti pernikahan itu SAH dan mereka memang bergelar SUAMI ISTERI. Tapi, soal hati tiada siapalah yang tahu. Walau Pengantin Lelaki cuba juga menerima si Isteri dengan rela hati, tetapi rasa cinta, kasih dan mahabbah itu, tetap jua tidak wujud, maka pada pandangan saya, wajarlah si SUAMI itu MELEPASKAN isterinya itu dengan cara yang terbaik. Usah disiksa perasaan dan jiwa si isteri dengan tindakan-tindakan yang tidak diizinkan Syarak. Saya menawarkan jalan keluar ini adalah berdasarkan firman Allah :
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَأْخُذُوا مِمَّا آَتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَنْ يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik. Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu), kecuali jika keduanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
[ Surah al-Baqarah : ayat 229 ]
Walahua'lam Bis Sowab
Dicatat oleh
almunabbih
on
Wednesday, August 12, 2009
Saya ada satu kes dimana seorang wanita dikahwinkan secara paksa juga>yang hairannya hak wanita tersebut di'pegang' oleh keluarganya sehingga dipaksa untuk menandatangani surat nikah pada malam pernikahannya oleh abgnya sedangkan jika mengikut prosuder, kadhi yang akan bertanyakan persetujuan perempuan sebelum diijabkabulkan. Si lelaki pula sudah tahu si perempuan tidak mahu dikahwinkan dgn dirinya tetapi bersubahat sama dalam pernikahan tersebut> Wanita ini amat teraniaya dan apakah SAH pernikahan tersebut disisi undang2 islam dan undang2 negara? kerana mengikut cerita wanita tersebut die mengetahui yang die akan bernikah sehari sbelum berlangsungnya akad nikah dan permohonan pernikahan die semuanya dirancang teliti oleh keluarganya...wallahua'lam..