PERMASALAHAN SUTERA

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Asal Pengharaman Sutera

Rasulullah SAW dihadiahkan farruj (sejenis pakaian) sutera. Baginda memakainya lalu mengerjakan sembahyang dengan pakaian itu. Setelah selesai sembahyang Baginda menanggalkan pakaian itu dengan keras seperti membencinya. Baginda bersabda:"Pakaian ini tidak sesuai bagi orang-orang yang bertaqwa."
(Muslim)

Dipercayai baginda telah ditegur oleh Jibril dalam solatnya tentang sutera. Dikatakan sejak itulah sutera haram dipakai oleh kaum lelaki.
Wallahualam.

Hujah-hujah Pengharaman Sutera

Rasulullah SAW bersabda:
"Janganlah kamu memakai sutera, sesungguhnya orang (lelaki) yang memakainya di dunia tidak dapat memakainya di akhirat."
(Bukhari & Muslim))

Rasulullah SAW mengambil sutera, baginda letakkan di sebelah kanannya dan baginda mengambil emas kemudian diletakkan sebelah kirinya, lalu baginda berkata:
"Kedua ini haram buat lelaki dari ummatku."
(Ahmad, Abu Daud, An-Nasaie, Ibn Hibban dan Ibn Majah)

"Emas dan sutera dihalalkan bagi wanita daripada umatku dan diharamkan ke atas lelaki daripada umatku."
(Hadis riwayat An-Nasa’i)

Ali r.a. berkata: Saya telah melihat Rasulullah SAW. Memegang sutera di tangan kanan dan emas di tangan kirinya kemudian berkata:
“Keduanya ini haram terhadap laki-laki dari umatku.”
(Abu Dawud).

Abu Musa Al-Ash’ari r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Telah diharamkan memakai sutera dan emas kepada orang laki-laki dari umatku dan dihalalkan bagi orang perempuan mereka.”
(At Turmizi)

Umar mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Barangsiapa memakai sutera di dunia tidak akan memakainya di akhirat."
(At-Turmidzi)

Kanak-Kanak Dipakaikan Sutera

Ada tiga pendapat dalam hukum orang yang memakaikan kanak-kanak pakaian sutera:

i. Haram ke atas orang yang memakaikan sutera kepada kanak-kanak sebagaimana dalam umum hadis di atas yang melarang lelaki memakai emas dan sutera.

ii. Harus memakaikan kanak-kanak yang belum baligh pakaian sutera itu. Ini kerana kanak-kanak itu belum mukallaf.

iii.Pendapat ketiga pula, jika kanak-kanak itu sampai umurnya tujuh tahun, maka haram dipakaikan sutera. Jika di bawah tujuh tahun, maka harus hukumnya.

QAUL ASHAH

Dalam ketiga-tiga pendapat ini, pendapat yang kedualah yang ashah iaitu harus dipakaikan sutera ke atas kanak-kanak yang belum baligh.

(Al-Majmu‘ kitab Ash-Solah bab Ma Yukrah Lubsuhu Wa Ma La Yukrah: 4/377-378)

Hukum Khuntsa Musykil Memakai Sutera

Khuntsa musykil ialah orang yang tidak nyata padanya tanda atau alamat yang menunjukkan dia sebagai lelaki ataupun perempuan, atau bertentangan tanda-tanda tersebut.

Setiap barang perhiasan yang diharamkan ke atas lelaki, diharamkan juga ke atas khuntsa musykil. Oleh yang demikian, haram bagi khuntsa musykil memakai sutera sebagaimana diharamkan ke atas lelaki.

(Al-Majmu‘ kitab Ash-Shalah bab Ma Yukrah Lubsuhu Wa Ma La Yukrah: 4/384)

Kain Sutera Sebagai Pakaian Biasa

Pakaian yang bercampur dengan sutera, menurut pendapat yang shahih dan masyhur adalah mengikut kadar timbangannya. Jika sedikit timbangan sutera itu, maka haruslah dipakai oleh lelaki, namun jika lebih banyak timbangan sutera itu berbanding dengan timbangan bahan yang lain itu, maka haram lelaki memakainya. Adapun jika sama timbangan antara keduanya, maka menurut pendapat yang shahih adalah harus dipakai oleh lelaki kerana ia bukan sutera & mengutamakan perkara yang Halal lebih dahulu daripada yang Haram [ Fiqhul Manhaji]. Sebagaimana dalam hadis daripada Ibnu ‘Abbas katanya:

Maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada pakaian sutera yang tulen. Adapun sujian daripada sutera dan jahitan pakaian maka tidak mengapa."

(Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam hal pakaian yang disuji/ disulam dengan sutera (sejenis jahitan sulaman untuk membuat bunga pada kain), adalah harus jika tidak melebihi empat jari. Ini termasuklah juga kocek pakaian, tampal dan sebagainya. Jika ia melebihi daripada empat jari, maka haram dipakai. Sebagaimana dalam hadis daripada Suwaid bin Ghafalah:

Maksudnya: "Sesungguhnya ‘Umar bin Al-Khattab berkhutbah di Jabiyah (bandar Syam) lalu berkata: "Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada memakai pakaian sutera melainkan pada kadar dua, tiga atau empat jari."

(Hadis riwayat Muslim)

Jika dijahit pakaian itu dengan benang sutera adalah harus dipakai tanpa ada perselisihan pendapat. Melainkan baju besi berzirah (berantai) yang dianyam dengan emas walaupun sedikit adalah haram dipakai kerana ada kesombongan padanya. Sementara tasbih yang mempunyai benang sutera tidak haram menggunakannya.

JUBAH YANG MENGANDUNGI LAPISAN SUTERA :

Dalam isu ini, ada 2 pandangan :

1] Adapun jubah yang bukan daripada sutera tetapi isi di dalamnya (yakni antara lapis luar dan lapis dalam) ada sutera atau terdapat sutera di dalam bantal atau sebagainya, adalah harus digunakan.

2] Manakala dalam perkara jubah ini, Imam An-Nawawi mengatakan:

Ertinya: "Jika dilapisan luar jubah sutera dan dilapis dalamnya kapas ataupun dilapis luarya kapas dan dilapis dalamnya sutera adalah haram digunakan tanpa ada perselisihan pendapat."(Al-Majmu‘ kitab Ash-Shalah bab Ma Yukrah Lubsuhu Wa Ma La Yukrah: 4/380)

Kain Sutera Sebagai Kapan

Haram mengkapankan mayat lelaki dengan kain sutera sebagaimana haram dia memakai ketika hidupnya. Manakala bagi mayat perempuan, boleh dikapankan dengan kain sutera sebagaimana dia boleh memakainya ketika hidupnya akan tetapi makruh hukumnya, kerana ada pembaziran, berbeza halnya ketika dia hidup kerana berhias-hias untuk suaminya. (Al-Majmu‘ kitab Al-Jana’iz bab Al-Kafan: 5/153)

Sembahyang Dengan Pakaian Sutera

[SUMBER 1 ]

Haram bagi lelaki memakai pakaian sutera atau menjadikannya alas ketika sembahyang, namun sembahyangnya itu sah. Adapun jika tidak diperolehinya sebarang pakaian melainkan sutera, menurut pendapat yang ashah hendaklah dia memakai pakaian sutera itu. Demikian juga, jika dia hanya terdapat pakaian yang bernajis dan pakaian sutera. Menurut pendapat yang ashah, jika pakaian bernajis itu tidak dapat dibersihkannya, kerana ketiadaan air, maka wajib dia bersembahyang dengan pakaian sutera tersebut, kerana sutera itu suci dan ia hanya haram pada ketika bukan waktu dharurah.

Manakala bagi perempuan pula, harus dia memakai pakaian sutera atau menjadikannya alas ketika sembahyang. (Al-Majmu‘ kitab Ash-Shalah bab Satr Al-‘aurat: 3/181-182 & bab Thaharah Al-Badan: 3/ 147)

[SUMBER 2 ]

Lelaki Solat Pakai Sutera

Memakai sutera bagi lelaki adalah HARAM, manakala bersembahyang pula adalah satu IBADAH. Apabila kedua-dua ini (MAKSIAT dan IBADAH) berlaku secara serentak,ulama telah membincangkannya di bawah tajuk: “hukum sembahyang di kawasan yg dirampas”.

Secara kesimpulan, orang yg melakukan perkara haram dalam sembahyangnya, ada empat pendapat masyhur:
1) Sembahyang itu BATAL, dan wajib qadha’. (Mazhab Hanbali).
2) Sembahyang BATAL, tidak wajib qadha’. (al-Baqillani, al-Razi)
3) Sembahyang SAH tetapi tiada pahala (Jumhur ulama: Syafie, Malik, Ahmad satu riwayat).
4) Sembahyang SAH, dan dapat pahala sembahyang, dan dosa maksiat.

Pendapat yg paling kuat ialah: pendapat Jumhur atau pendapat no: 4, kerana:
Amalan seperti ini terdapat dua sudut yg berbeza;
-Dari sudut dia bersembahyang, maka ia satu ketaatan dan ibadah.
-Manakala dari sudut dia memakai sutera atau merampas kawasan org lain, ia satu maksiat.
jadi ia dua sudut yg berbeza.

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti (penulis Adhwa’ Bayan) mengatakan: pendapat yg paling bertepatan dengan qiyas ialah pendapat no: 4. wallahu a’lam.

BAGAIMANA PULA DENGAN WUDHUKNYA ?

Wudhu’ pula tidak terjejas dengan sebab memakai pakaian haram. Yang menjadi khilaf, apabila berwudhu’ menggunakan air yg haram spt air yg dicuri, maka masalahnya seperti masalah di atas & hukumnya MAKRUH.

rujukan:
Muzakkirah Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti m/s 53-54.

Jawapan asal penulis di Al-Ahkam.net

Memakai Sutera Yang Sedikit

Boleh memakai sedikit sutera berdasarkan riwayat daripada Ibn Hazm, dari Suwaid bin Ghaflah:
Kami telah berjaya menakhluk negeri Syam. Pada suatu hari kami pulang ke Madinah, dan sudah hampir ke sana, kami pakai kain sutera dan dibaj (sejenis kain sutera yang banyak gambar). Sebaik sahaja Umar melihat kedatangan kami yang memakai kain sutera itu, beliau melempar kami. Melihat beliau marah, kami tanggalkan pakaian itu dan kami pakai kain biasa. Kemudian beliau nampak tersenyum dan berkata:
"Selamat datang wahai kaum muhajirin. Ketahuilah bahawa Allah S.W.T tidak membolehkan pakaian sutera bagi orang-orang sebelum kamu, apakah Dia bolehkan kepada kamu? Kaum lelaki tidak boleh memakai sutera kecuali sekadar ini dan ini."

Menurut Syukbah, Umar mengisyaratkan satu jari, dua atau tiga jari. Maksudnya kaum lelaki boleh memakai sedikit kain sutera seperti tali leher, kolar baju, pergelangan tangan dan seumpamanya yang tidak melebihi 3 jari lebar. Tapi adakah sutera yang kita pakai itu contohnya tali leher tidak melebihi 3 jari?

Syeikh Sayyid Sabiq dalam Fiqh Sunnah juga berpendapat harus bagi kaum lelaki memakai sedikit sutera. Kesimpulannya, kaum lelaki boleh memakai sutera asalkan sedikit.


Rambut Diikat Dengan Benang Sutera

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat perempuan yang menyambung atau meminta sambungkan rambut mereka dengan rambut orang lain. Menyambung rambut itu termasuk dalam dosa-dosa besar.

Adapun mengikat rambut dengan benang sutera atau sebagainya yang bukan menyerupai rambut, maka tidaklah termasuk dalam larangan di atas. Kerana ia tidak termasuk makna tujuan menyambung itu, akan tetapi untuk kecantikan dan mengelokkan. (Al-Majmu‘ kitab Ash-Shalah bab Thaharah Al-Badan: 3/147)

Memakai Sutera Kerana Penyakit

Harus bagi lelaki memakai sutera jika dia berpenyakit seperti berkurap, berkudis atau sebagainya. Sebagaimana disebutkan dalam hadis daripada Anas Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: "Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi kelonggaran kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf dan Zubir memakai pakaian sutera kerana ada kudis yang mereka alami."

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Demikian juga, harus memakai sutera bagi menghindarkan kutu sama ada ketika pelayaran ataupun tidak. (Al-Majmu‘ kitab Ash-Shalah bab Ma Yukrah Lubsuhu Wa Ma La Yukrah: 4/381)

Penggunaan Sutera Pada Selain Pakaian

Haram bagi lelaki menggunakan sutera sama ada dijadikan pakaian, alas tempat duduk atau bersandar, dan segala jenis penggunaan. (Al-Majmu‘ kitab Ash-Shalah bab Ma Yukrah Lubsuhu Wa Ma La Yukrah: 4/377) Sebagaimana disebutkan dalam hadis daripada Hudzaifah Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: "Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang kita minum dan makan pada bejana emas dan perak, dan (melarang kita) daripada memakai sutera dan dibaj (sejenis sutera) serta duduk di atasnya."

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Menjadikan sutera sebagai tabir pintu, tabir jendela

Demikian juga, haram menjadikan sutera sebagai tabir pintu, tabir jendela atau sebagainya. Ada unsure bongkak, sombong & besar diri. [ Fiqhul Manhaji]

(Asna Al-Mathalib, kitab Shalah Al-Khauf, bab Ma Yajuzu Lubsuhu Li Al-Muharibi Wa Ghairihi Wa Ma La Yajuz: 1/277)

Penutup

Walaupun sutera itu suci, harus dijual beli dan sah juga dijadikan pakaian sembahyang, namun ia haram dan berdosa ke atas lelaki memakainya. Oleh kerana itu hati-hatilah memakai sutera, kerana apalah ertinya suatu pakaian walaupun bermutu tinggi yang tujuannya untuk menutup aurat dan berhias menurut syara‘, akibatnya akan mendatangkan kerugian di akhirat kelak.

Dicatat oleh almunabbih on Friday, May 20, 2011

1 Responses to PERMASALAHAN SUTERA

  1. munash Says:
  2. boleh tak saya memakai kain 42% silk dan 58% kapas...adakah ia melebihi had timbangan....minta penjelasan

     

Post a Comment

Total Pageviews

JADUAL KULIAH MAGHRIB & AKTIVITI DAKWAH SAYA

1- ISNIN : A] MSJD QUBA',[ TMN WAWASAN] QANUN JENAYAH SYARIYYAH

2- SELASA: MSJD BAITUR RAHMAN [MUHIBBAH BAL] TAFSIR & FIQH

3- RABU : MSJD AL-AMAN [ TANJUNG BATU ] APA YANG DISUKAI OLEH NABI SAW & APA YANG BAGINDA BENCI ?

4- KHAMIS MSJD AL-KAUTHAR [ BANDAR]

TAFSIR JUZ A'MMA

5- JUMAAT
1- TAWAU FM [KEMUSYKILAN AGAMA ]

2- MSJD BABUS SAA'DAH : [MUHIBBAH RAYA]
400 KESALAHAN DALAM SOLAT


6- AHAD : MASJID BANDAR
- HIDAYATUS SIBYAN
- FIQH BERINTERAKSI DENGAN NON-MUSLIM



There was an error in this gadget
There was an error in this gadget

Labels

Pautan

PENDAMPING SETIA

Demi Masa

Web Analytics