Maksud Najis
Dari segi bahasa, najis bererti benda kotor seperti darah, air kencing dan tahi. Dari segi syara`, najis bermaksud segala kekotoran yang menghalang sahnya solat. Menurut Rosli Bin Othman dalam bukunya Al-Mukhtasar Al-Mufid (Ringkasan Hukum Solat dan Taharah) mengatakan bahawa :
“Najis juga boleh diertikan sesuatu benda yang kotor pada pandangan syara yang menghalang sahnya solat dan ibadah-ibadah yang pada maknanya.”
Kesimpulan dari pengertian di atas najis boleh didefinasikan kepada tiap-tiap benda yang kotor dan jijik dan tidak sah solat sekiranya hadir pada badan, pakaian dan tempat untuk mengerjakan solat. Sebelum melakukan solat, hendaklah terlebih dahulu membersihkan tubuh badannya dan pakaiannya dari segala najis. Firman Allah SWT :
“Dan pakaianmu, maka hendaklah Engkau bersihkan.” (Al-Muddatthir : 4)
Najis Mukhaffafah
Najis Mukhaffafah ialah kencing kanak-kanak lelaki yang belum makan makanan selain daripada susu ibu. Untuk membersihkan benda yang terkena najis ini, memadai dengan memercikkan air atas benda itu meskipun tidak mengalir. Adapun kencing kanak-kanak perempuan yang belum makan selain susu hendaklah dibasuh sampai mengalir air di atas benda yang kena najis itu dan hilang zat dan sifat-sifat nya sebagaimana mensuci kencing orang dewasa. Ali ra menyatakan bahawa nabi SAW bersabda :
“Air kencing kanak-kanak lelaki memadai direnjis dan air kencing kanak-kanak perempuan dibasuh”. (Riwayat Ibnu Majah)
Cara Bersuci
Cara membersihkan najis mukhaffafah ialah dengan cara hilangkan ain najis, setelah itu basuh bahagian yang terkena najis dan dilapkan, kemudian percikkan air di atas tempat yang terkena najis, Akhir sekali lapkan dengan kain bersih sehingga kering.
Tambahan
Pada zaman sekarang, ramai ibu-ibu yang memberikan susu formula kepada anak mereka. Ini semua adalah disebabkan faktor pekerjaan yang membuatkan si ibu tiada kesempatan untuk menyusukan anak mereka, situasi seperti ini akan menyebabkan susu ibu tersebut kering dari payudaranya dan terpaksalah mereka memberikan susu formula kepada anak-anak mereka. Air kencing yang dikeluarkan oleh anak mereka ini tidak dikira sebagai najis mukhaffafah walaupun umur anak mereka tidak sampai dua tahun. Najis anak mereka hendaklah dibasuh sepertimana najis mutawassitah.
Ketika membasuh pakaian di dalam mesin basuh jangan mencampurkan pakaian anak-anak, kerana dikhuatiri pakaian mereka mempunyai najis. Apabila pakaian dewasa dan kanak-kanak yang mempunyai najis dicampurkan akan menyebabkan pakaian dewasa juga mempunyai najis kerana mesin basuh tidak dapat membasuh dengan cara mencucurkan @ menjirus air dari hujung ke pangkal pakaian tersebut. Cara untuk membasuh pakaian ialah dengan cara mengasingkan pakaian dewasa dan kanak-kanak supaya najis yang terlekat dipakaian kanak-kanak tidak terkena kepada pakaian dewasa. Lebih baik lagi setelah dibasuh dengan mesin, hendaklah dicucurkan pula dengan air mutlak ke pakaian tersebut sehingga bersih. Teknik ini lebih baik dan lebih diyakini kebersihannya.
Najis Mutawassitah
Najis Mutawassitah adalah semua najis selain najis mukhaffafah dan mughalladzah. Ini termasuklah tahi, kencing, darah, nanah,muntah, air liur basi, bangkai, arak dan lain-lain. Najis ini terbahagi kepada dua bahagian seperti :
- Najis Ainiah, iaitu najis yang masih wujud ainnya atau kesannya seperti warna, rasa atau bau. Najis ini hendaklah disucikan menurut syara berdasarkan bahagiannya yang akan dinyatakan.
- Najis Hukmiah, iaitu najis yang sudah hilang ainnya dan sudah tiada kesannya tetapi belum disucikan menurut syara. Seperti sesuatu yang terkena najis dan kerana kesan panas dan angin kesan najis tersebut telah hilang sehingga tiada warna, rasa dan baunya lagi.
Cara Bersuci
Najis a’iniah hendaklah dicuci sehingga tiada lagi sebarang sifat warna, bau dan rasa. Seterusnya hendaklah dialirkan air mutlak sekurang-kurangnya sekali. Daripada Asma ra menyatakan : Telah datang seorang perempuan kepada Nabi saw lalu berkata :
“Apa pandanganmu tentang darah Haid yang terkena pakaian. Nabi saw bersabda: Hilangkan kesan darah tersebut, kemudian gosokkan dengan air, kemudian basuhlah ia, kemudian kamu sembahyanglah dengannya”. (Riwayat Al-Bukhari)
Najis hukmiah memadailah dengan mengalirkan atau Menjirus air mutlak pada tempat yang terkena najis. Memadai juga dengan merenjiskan air ketempat yang mempunyai kesan najis tersebut.
Untuk dikongsi
Cara2 untuk menyucikan najis2